Minggu, 21 Februari 2016

Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA

Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, orang-orang Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Maqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Maqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Maqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.

Sultan Salahuddin Al-Ayyubi telah dilahirkan pada tahun 1138 Masihi. Ayahnya berasal daripada suku Kurdistan yang terletak di Utara Iraq. Mereka kemudiaanya berpindah ke negeri Syam. Semasa kecil, Salahuddin belum lagi memperlihatkan sifat-sifatnya yang luarbiasa dan masih belum dikenali ramai. Setelah besar, beliau berpeluang mengikuti bapa saudaranya yang bernama Shirkuh untuk pergi berperang di negeri Mesir yang diperintah oleh keturunan Fatimiyah.

Pada tahun 1169, Shirkuh iaitu bapa saudara Salahuddin telah dilantik sebagai wazir di bawah Khalifah Fatimiyah. Setelah kematian bapa saudaranya, Salahuddin telah diangkat sebagai wazir menggantikan ayah saudaranya itu. Salahuddin menunjukkan sikap seorang pahlawan Islam yang sangat cekap dan seorang pemerintah yang berkaliber.

Beliau berjaya menumpaskan gerakan-gerakan pemberontak oleh golongan-golongan yang cuba merampas kuasa dan berjaya menumpaskan pihak Frank dan Byzantine yang beragama Kristian yang cuba menakluk kota Kahirah, iaitu ibu kota Mesir pada ketika itu.

Pada tahun 1175, berlaku kemangkatan Raja Mesir Bani Fatimiyah yang akhir, lalu Salahuddin telah mengistiharkan dirinya sebagai pemerintah Mesir yang berdaulat. Pemerintah di Baghdad juga telah mengiktiraf Sultan Salahuddin Al-Ayubi sebagai pemerintah yang berdaulat merangkumi Raja Mesir dan Arab Barat (Hijaz dan Yaman).

Dalam masa kurang daripada 10 tahun, Sultan Salahuddin Al-Ayubi telah berjaya memasuki negeri Syam yang luas serta jajahannya menjadi lingkungan kekuasaannya. Sultan Salahuddin Al-Ayubi di iktiraf sebagai pemerintah Islam yang paling agung pada ketika itu memandangkan tanah jajahannya yang begitu luas dan besar.

Semasa berlakunya Perang Salib di Timur Tengah, angkatan salib Kristian iaitu orang-orang Frank telah berjaya menubuhkan beberapa negeri Kristian di Syam. Sikap orang Kristian sangat mengancam ketenteraman dan keamanan negeri-negeri di sekitarnya yang didiami oleh orang-orang Islam. Keadaan ini memaksa Sultan Salahuddin Al-Ayubi membebaskan negeri-negeri yang dikuasai oleh tentera-tentera salib di tanah suci Palestin.

Pembebasan bumi Al-Quds ini tercapai setelah tentera Islam bejaya mengalahkan tentera Salib Kristian dalam peperangan Hittin di bawah pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Jumlah tentera Islam pada ketika itu ialah 12,000 orang sementara tentera salib 50,000 orang dipimpin oleh Guy of Lusignan dan Raymond III of Tripoli.

Peperangan ini dinamakan peperangan Hittin kerana ia berlaku di Kampung Hittin, di kaki Bukit Hittin, yang terletak di antara Tiberias dan An-Nasirah. Akhirnya tentera Salib telah tewas. Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan.

Dalam tempoh dua bulan selepas Salahuddin mencapai kemenangan di Hittin, tentera Islam di bawah kepimpinan Salahuddin mengambil keputusan untuk memasuki bandar dan ibukota Al-Quds. Sebanyak lima puluh buah bandar dan perkampungan yang pernah berada di bawah penjajahan tentera Salib telah berjaya dimerdekakan dalam tempoh yang terlalu singkat. Namun begitu, objektif sebenar yang dijanjikan oleh Salahuddin Al-Ayyubi kepada umat Islam ialah untuk membebaskan Al-Quds dari kongkongan musuh-musuh Islam.

Untuk tujuan tersebut Salahuddin meneruskan perjalanannya bersama dengan angkatan tentera ke arah Al-Quds (Baitul Maqdis) dan berjaya mengepungnya selama seminggu sehinggalah pasukan tentera pertahanan kota menyerah diri menyebabkan Salahuddin berjaya memasukinya pada hari Jumaat bersamaan 27 Rejab 583H.

Sebaik sahaja tentera Islam berjaya memasuki Al-Quds, Salahuddin Al-Ayyubi mengambil tindakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saiyidina Umar bin Al-Khattab (r.a) semasa kali pertama beliau berjaya memasuki Al-Quds. Beliau membuat perjanjian dengan semua masyarakat yang tinggal di sana seperti penganut agama Kristian supaya menjaga kehidupan mereka, kehormatan mereka dan harta benda mereka.

Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H orang-orang Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

Siapakah yang bakal menggantikan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi untuk menawan kembali baitul maqdis daripada Yahudi ini?? Moga-moga kitalah antara umat Islam itu. Moga kedatangan Rejab kali ini membawa kemenangan kembali kepada umat Islam untuk  menawan dan kembali membebaskan Baitul Maqdis daripada orang-orang Yahudi. Insya Allah. Mudah mudahan. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa kepada Allah.

Rejab yang datang membawa pesan dan peringatan, membawa berkat dan kekuatan, membawa seribu erti pengajaran. Moga-moga mengembalikan aku ke alam realiti ini. Realiti hidup bertuhankan Allah, realiti iman perlu hadir dalam hati, realiti taqwa pendinding diri, moga aku kembali menjaga ibadahku dari segi kualiti dan kuantiti.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, masih memberi peluang untuk aku menitipkan bait kata-kata di sini. Masa yang berlalu, perkara yang berlaku, biarlah berlalu, perit di hati, sakit yang dirasai moga-moga cepat sembuh berserta tarbiah dari Yang Maha Pencipta. Kehadiran bulan Rejab ini tidak sesekali datang sekadar datang dan pergi, kosong di sini bukan bererti kosong di hati, cuma kekuatan yang lumpuh benar-benar menduga iman di dada. Wahai Allah, sembuh kan kembali iman ku.

Maafkan aku Allah..
 
Moga-moga Allah akan terus memberi kekuatan untuk aku menulis di sini lagi. Nikmat kesihatan yang seringkali di uji akhir-akhir ini menyebabkan aku benar-benar lemah. Moga ku genggam peringatan yang cuba DIA sampaikan.
 
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah(jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah dijalanNya, agar kamu beruntung."
 
Al-Maidah : 35
Wallahua'lam

Tidak ada komentar: